Halaman

Senin, 20 Januari 2014

Ketokohan Sheikh Muhammad Muhajirin Amsar al-Dary sebagai Ilmuwan Hadis Nusantara



Ketokohan Sheikh Muhammad Muhajirin Amsar al-Dary sebagai Ilmuwan Hadis
Nusantara : Analisis terhadap Kitab Misbah al-Zulam Sharh Bulugh al-Maram
(oleh Jawiah Dakir & Ahmad Levi Fachrul Avivy dari Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor )

Abstrak: Kertas ini membincangkan ketokohan seorang ilmuwan hadis Nusantara iaitu Sheikh Muhammad Muhajirin Amsar Al-Dary. Ketokohan beliau jarang sekali dibahaskan dan menjadikan sumbangannya dalam bidang hadis tidak begitu diperhatikan oleh para pengkaji dalam bidang hadis di rantau ini. Sehubungan dengan itu, tulisan ini bertujuan untuk menggali dan mengangkat Sheikh Muhammad Muhajirin Amsar Al- Dary sebagai tokoh hadis melalui karya terbesarnya dalam bidang ini, iaitu Misbah al-zulam sharh bulugh almaram. Kitab tersebut yang mensyarahkan kitab Bulugh al-Maram dianalisis daripada berbagai-bagai sudut terutama metodologi penyusunan dan perbahasan. Antara langkah beliau dalam menyusun kitab ini adalah; pertama tanqil, kedua tabyid dan ketiga tahqiq. Metode perbahasannya cukup meluas antaranya mengemukakan hukum hadis secara umum, menjelaskan tentang asbab al-wurud, mengemukakan penjelasan kata atau kebahasaan, mengemukakan perbahasan mengenai usul fikah, mengemukakan perbahasan sanad. mengemukakan beberapa pendapat ulama yang saling bercanggah sebagai perbandingan, dan terkadang mengemukakan pendapatnya sendiri. Dapat dirumuskan bahawa Kitab Misbah al-zulam merupakan sebuah refleksi pemikiran dan keilmuan Syeikh Muhajirin Amsar Al-Dary yang lahir dari proses penggalian ilmu selama bertahun-tahun di Indonesia dan di Hijaz. Melalui kitab Misbah al-zulam, beliau telah Berjaya mensyarahkan dengan baik kitab Bulugh al-maram sebagai sebuah kitab hadis ahkam.

PENGENALAN
Hadis Nabi s.a.w. merupakan penjelas kandungan al-Qur’an. Hal ini mengingat bahawa peribadi Nabi s.a.w. merupakan perwujudan dari al-Qur’an yang ditafsirkan untuk manusia, serta ajaran Islam yang dijabarkan dalam kehidupan.1 Dalam konteks ilmuilmu keislaman (Islamic studies), ilmu hadis memiliki peran yang sangat penting, karena hadis memiliki fungsi dan kedudukan sebagai sumber hukum Islam setelah al-Qur’an. Pelbagai upaya telah dilakukan oleh para ulama hadis untuk memelihara hadis Rasulullah s.a.w. Selain itu, para ulama hadis telah melakukan pengkajian yang sangat intensif untuk menjamin sebuah hadis bersumber daripada Nabi s.a.w. Mereka berusaha untuk melakukan penelitian dengan mengkaji segala sesuatu yang berkaitan dengan periwayat hadis (sanad) mahupun yang berkaitan dengan teks (matn) hadis. Dalam sejarah kodifikasi hadis, upaya-upaya tersebut di atas masuk dalam periode ke tujuh (‘ahd al-sharh wa al-jam‘ wa al-takhrij wa al-bahth). Periode ini merupakan pensyarahan dan pengumpulan hadis-hadis. Ulama pada periode ini mulai melakukan penyusunan hadis-hadis menurut kehendak pengarang, memperbaharui kitab-kitab mustakhraj dengan cara membahagikan hadis mengikut kualitinya, dan mereka juga mula menyusun hadis sesuai dengan tajuk perbahasan (tematik). Dalam konteks Indonesia, kajian hadis memang belum menjadi salah satu tumpuan kajian Islam sejak awal masuknya Islam di Indonesia yang diperkirakan berawal dari abad ke-13 hingga penghujung abad ke-19.4 Hal tersebut dapat dibuktikan dengan kurangnya literatur dalam bidang hadis pada awal masuknya Islam ke Indonesia. Kajian keIslaman yang dominan pada masa itu adalah yang berorientasi kepada shari‘ah (fikah),
mistisisme, sufisme dan neo-sufisme, membuat kajian dan perkembangan disiplin ilmu hadis kurang mendapat tempat di dunia intelektual umat Islam Indonesia ketika itu. Pada masa-masa tersebut, ulama yang membuat sebuah karya hadis masih dapat dihitung dengan jari. Ketertarikan pada kajian hadis barulah intensif menjelang abad ke-20. Hal itu banyak dikaitkan dengan dikaitkan dengan perkembangan intelektual di dunia keIslaman pada penghujung abad ke-19 yang melahirkan istilah ‘kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah’, sebuah reaksi keagamaan atas keresahan dan keprihatinan dimana sebahagian besar
umat Islam tengah berada dalam situasi kemunduran, bahkan banyak yang mengalamiyang mengenaskan sebagai pihak terjajah. Menyoroti perkembangan pemikiran dan keilmuan Islam di Indonesia, khususnya dalam bidang hadis. Sebenarnya dalam deretan panjang ulama atau intelektual Islam Indonesia dalam rentang abad ke-20 masih ada ulama atau intelektual Islam Indonesia yang tidak terpublikasikan ke tengah masyarakat dan hampir luput dari pantauan sejarah. Diantara ilmuwan Islam tersebut adalah Muhammad Muhajirin Amsar al-Dary atau yang lebih dikenal dengan Syeikh Muhajirin. Kyai yangsatu ini memiliki akar tradisi intelektual yang sangat kuat dengan jaringan ulama-ulama Timur Tengah, khususnya Mekah dan Madinah. Syeikh Muhajirin merupakan kyai yang tidak hanya menguasai pelbagai disiplin ilmu keIslaman, tetapi juga beliau merupakan ulama yang produktif melahirkan karyakarya tulis dalam pelbagai bidang keilmuan Islam. Dari sejumlah karya-karya beliau yang paling fenomenal adalah Misbah al-zulam bi sharh bulug al-maram. Kepakaran dan sumbangan Syeikh Muhammad Muhajirin terbukti dengan puluhan karya yang sudah beliau hasilkan dan salah satu karyanya Misbah alzulam bi sharh bulûg al marâm, mempunyai andil besar dalam upaya pengembangan kajian hadis di Indonesia, dan juga memperkaya khazanah keilmuan Islam, khususnya dalam bidang hadis dan kemajuan ilmu pengetahuan khususnya di Indonesia. Oleh itu, kertas kerja ini mencuba untuk mengetengahkan seorang ulama Nusantara berkaliber dan sumbangannya bagi keilmuan Islam khususnya bidang hadis.

Biografi Ringkas: Syeikh Muhammad Muhajirin
ialah salah seorang ulama yang sangat berperan di Bekasi. Sebenarnya ia bukan ulama kelahiran Bekasi, ia dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Baru, Cakung, Jakarta Timur, pada tanggal 24 November 1924. Muhajirin kecil telah dibesarkan dari keluarga yang kehidupannya berkecukupan. Ia anak sulung daripada pasangan H. Amsar dan Hj. Zuriyah. Bermula dari pengajian-pengajian di kampong halamannya, pada tahun 1929, saat berusia lima tahun, Muhajirin kecil sudah mengaji di rumahrumah guru di kampungnya. Ia belajar huruf Arab (Hijaiyah) hingga membaca al-Quran. Guru pertama yang mengajarkan huruf-huruf hijaiyah sampai ia dapat membaca al-Quran adalah mualim Sairan. Beberapa waktu kemudian mereka mengirimkannya kepada beberapa mualim agar dapat mempelajari dasar-dasar ilmu agama dan ilmu-ilmu lainnya. Muhajirin mengkaji lebih jauh dasar-dasar bahasa Arab melalui ilmu nahw dan saraf kepada guru Asmat selama enam tahun. Selain mempelajari ilmu alat, ia mempelajari pula ilmu-ilmu lainnya, seperti fikih, usul fikih, ilmu bayan, mantiq, ilmu kalam dan tasawuf. Suatu ketika, Muhajirin pernah ditegur kerana menyebut makhraj huruf yang kurang fasih, sehingga dia memutuskan memperdalam ilmu tajwid dengan Hj. Mukhayar. Sampai akhirnya beliau pergi mencari guru qira’at di Banten. Di Banten beliau mempelajari ilmu qira’at dengan Kyai Haji Saleh Ma‘mun al-Bantani. Setelah Muhammad Muhajirin menguasai berbagai ilmu dari guru Asmat, beliau ingin menggali ilmu dari beberapa guru yang lain, agar dapat memperdalam dan memperoleh ilmu yang belum diperoleh dari guru Asmat. Sekitar tahun 1930-an, Muhajirin menggali ilmu para ulama yang berada di tanah Jawa, terutama di Jakarta. Muhajirin selama empat tahun berguru dengan Kyai Ahmad Marzuki. Setelah berguru dari Kyai Ahmad Marzuki. Muhajirin melanjutkan kajian kitab turathnya kepada Kyai Hasbiyallah di Klender. Selama tiga tahun ia belajar dengan Kyai Hasbiyallah dengan mendapatkan tiga ilmu baru, seperti balaghah, tafsir dan akhlaq. Dalam kesempatan itu pula ia juga memperdalam ilmu yang pernah didapat, seperti mantiq, nahw, dan tasawuf. Perjalanan selanjutnya, Muhajirin berguru kepada Kyai Anwar. Kepada Kyai Anwar, Muhajirin tidak terlalu lama dan tidak sampai bertahun-tahun. Ia hanya mempelajari kajian ilmu yang pernah didapati dari guru-guru sebelumnnya. Dalam waktu yang berdekatan Muhajirin juga berguru kepada Kyai Ahmad Mursyidi. Kepada beliau Muhajirin mengkaji dua bidang ilmu, iaitu mantiq dan balâghah. Guru yang ketujuh ialah Syeikh Muhammad Tahir melalui beliau Muhajirin begitu banyak mendapatkan pelajaran dan dengan beliau pula ia melewati masa yang cukup lama, yakni Sembilan tahun. Ilmu yang dipelajari dengan Syeikh Muhammad Tahir meliputi ilmu nahu, fikih, tafsir, mantiq, balaghah, tasawuf, hadis dan ilmu falak. Selain itu beliau juga mempelajari ilmu falak dengan Ahmad bin Muhammad, murid dari Syeikh Mansur al-Falaky. Selain membaca kitab-kitab tersebut di atas, beliau masih menyempatkan diri untuk mempelajari tata cara membaca Al Qur'an yang benar dengan Kyai Saleh Ma'mun di Banten. Guru yang kedelapan ialah Syeikh Abdul Majid. Kepada Syeikh Abdul Majid beliau juga mempelajari ilmu fara’id, fikih, tafsir, hadis dan tasawuf.19 Guru yang kesembilan di mana merupakan guru yang terakhir di masa belajar beliau di Jakarta ialah Syed ‘Ali bin ‘Abdurrahman al- Habshy. Kepada Syed ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habshy beliau mempelajari al-Hikam. Pada tanggal 4 Dzulqa'dah tahun 1366 H bertetapan dengan bulan Ogos 1947 Syeikh Muhammad Muhajirin bertolak daripada Indonesia dengan menggunakan kapal laut menuju Jeddah. Selanjutnya dari Jeddah ia melaksanakan ibadah umrah menuju Mekah Awal perjuangan Syeikh Muhammad Muhajirin menuntut ilmu dimulai dengan tinggal di rumah Syeikh ‘Abdul Ghani Jamal. Setelah beberapa lama beliau menetap di rumah Syeikh ‘Abdul Ghani Jamal, maka pada pertengan tahun beliau pindah ke Asrama Jailani yang berada disisi dalam "mudda‘î". Pada waktu tinggal disana, pertama kali beliau belajar pada Syeikh Muhammad Ahyad yang menggantikan Syeikh Muchtar al-Tarid al-Jâwî di Masjid al-Haram. Adapun guru-guru yang menjadi tempat Syeikh Muhammad Muhajirin menimba ilmu selama di Mekah dan Madinah iaitu: Syeikh Hasan Muhammad al-Masshat, Syeikh Zayni Bawean, Syeikh Muhammad ‘Ali b. Husain al-Malikiy, Syeikh Mukhtar Ampetan, Syeikh Syed ‘Alawi b. ‘Abbas al-Malikiy, Syeikh Ibrahim al-Fataniy, Syeikh Amin al-Qutbiy, Syeikh Ahmad Manshuriy, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadaniy, Syeikh Muhammad Amin al-Sinqitiy, Syeikh ‘Abdurrahman al-Afriqiy. Pada hari kamis tanggal 6 Agustus 1955 atau bertepatan dengan tanggal 19 Safar 1375 Hijriyah beliau tiba di tanah air Indonesia, atas permintaan ibundanya. Dalam usaha mengamalkan dan menyebarkan ilmu, beliau mendirikan sebuah lembaga pendidikan dan pondok pesantren mulai tingkat Thanawiyah (tingkatan 1-3) hingga Perguruan Tinggi dengan nama Annida Al-Islamiy. Syeikh Muhammad Muhajirin meninggal dunia pada tahun 2003.

Karya: Syeikh Muhammad Muhajirin merupakan ulama yang produktif menulis. Beliau telah mengarang lebih kurang tiga puluh empat judul kitab, dan kesemuanya berbahasa Arab. Karya-karya Syeikh Muhajirin merupakan kitab yang wajib dibaca oleh para santri (penuntut), mulai dari thanawiyyah (setara tingkatan satu) hingga almarhalah al-`ulya (setara pra siswazah) di pondok pesantren Annida al-Islamiy yang beliau dirikan. Sebagai bukti bahwa Syekh Muhammad Muhajirin adalah sosok ulama produktif dalam hal karya tulis, Pondok Pesantren Annida sebagai lembaga pendidikan yang didirikannya telah mendata karya ilmiah yang beliau karang sepanjang hidupnya. Karya-karya beliau selain menjadi kitab wajib di pesantren yang beliau dirikan, juga dikaji dan dipelajari di majelis-majelis ta’lim yang beliau asuh dan beberapa lembaga pendidikan di kawasan Bekasi dan Jakarta. Karya-karyanya dapat dibahagikan kepada lapan bidang keilmuan:
Bidang bahasa dan sastera:
فن المطالعة الأولي
فن المطالعة الثانیة
فن المطالعة الثالثة
محفوظات
قواعد النحویة الأولي
قواعد النحویة الثاني
البیان
مختارات البلاغة
القرع السمع في الوضع
Bidang tauhid
ملخص التعلیقات على متن الجوھرة
شرح التعلیقات على متن الجوھرة
Bidang fikah dan usul fikah
القول القاعد في علم الفرائض
تیسیر الوصول في علم الأصول
ایضاح المورود
استخراج الفروع علي الأصول
خلافیات
فلسفة التشریع
معرفة الطرق الاجتھاد
تخریج الفروع علي الاصول
قواعد الخمس البھیة
Bidang mantik / logik
المدارك في المنطق
النھج المطلوب الي منطق المرغوب
Bidang sejarah
مراة المسلمین
المنتخب من تاریخ دولة بني أمیة
تاریخ الأدب العربي
تاریخ محمد رسول لله و الخلفاء الراشدین
Bidang usul tafsir
التنویر في أصول التفسیر
تطبیق الأیة بالحدیث
Bidang akhlak tasawuf
الثقایة المرئیة في البحث و المناظرة
التعرف في التصوف
Bidang hadis dan ilmu hadis
القول الحثیث في مصطلح الحدیث
تعلیقات علي متن البیقوني
الاستذكار
مصباح الظلام شرح بلوغ المرام
Semua karya beliau ditulis dalam bahasa Arab. Apabila kita melihat kepada karya-karya beliau, akan nampak bahawa keilmuan beliau tidak hanya dalam satu bidang keilmuan sahaja, bahkan mencakupi beberapa bidang teras keilmuan Islam yang pada zaman ini amat jarang ada ulama yang berkemampuan seperti beliau. Kesemua kitab-kitab tersebut dicetak secara persendirian oleh beliau. Sayangnya kitab-kitab beliau yang bernilai itu tidak banyak yang mengetahuinya. Barangkali penyebab mengapa karya-karya beliau tidak banyak dikenal kerana ianya dicetak secara persendirian dan tidak dijual secara meluas sehingga penyebarannya hanya terbatas kepada murid-murid beliau dan orang-orang yang mengenali beliau sahaja.

Ketokohan dalam Bidang Hadis: Daripada deretan kitab yang menjurus dalam bidang hadis, membuktikan Syeikh Muhajirin boleh dikategorikan sebagai tokoh dalam bidang ini. Salah satu kitab yang dianggap sebagai bukti mengangkat beliau sebagai tokoh hadis ialah kitab Misbah al-zulam.

Kitab Misbah al-zulam sebagai Karya Hadis
Terbesar Syeikh Muhammad Muhajirin:
Diantara kepakaran yang paling menonjol diantara kepakaran-kepakaran Syeikh Muhajirin yang lain adalah dalam bidang hadis. Hal ini dinyatakan olehH. Aizullah yang merupakan anak bongsu. Ini dapat kita fahami kerana beliau cukup lama menimba ilmu kepada Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani di Dar al-‘Ulum Mekkah. Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani dikenali dikalangan para ulama dunia sebagai salah seorang muhaddith terbesar abad ini. Syeikh Yasin mendapat julukan suyutiyy zamanihi (Imam Suyuti pada zamannya). Disamping itu, beliau bergelar “musnid al-dunya” sebuah gelar yang sangat langka, bahkan tidak ada yang memiliki gelaran tersebut pada zamannya. Beliau digelar sedemikian kerana tidak ada satu hadispun yang terdapat dalam kitab-kitab ilmiah, sama ada yang berderajat mutawatir, mashhur, sahih, hasan, da‘if kecuali beliau mempunyai sanadnya sampai kepada Rasulullah. Bahkan tidak ada satu kitab pun yang beredar di dunia ini kecuali beliau mempunyai sanadnya sampai kepada penyusun kitab tersebut. Dengan bekal keilmuan beliau yang mendalam dalam bidang hadis yang beliau dapat daripada gurunya itulah kemudian Syeikh Muhajirin Berjaya menghasilkan kitab Misbah al-zulam sharh bulugh al-maram. Latar belakang lahirnya kitab Misbah al-zulam adalah berawal dari rasa kagum terhadap kitab Bulugh al-maram karya Ibn Hajar. Dalam pandangan beliau kehadiran Bulugh al-maram sebagai sebuah kitab hadis ahkam merupakan sebuah karya fenomenal. Syekh Muhajirin beralasan karena banyak ulama setelah generasi Ibnu Hajar menjadikan karyanya itu sebagai rujukan dalam pencarian hujjah seputar hukum Islam atau kajian hadis hukum itu sendiri yang melahirkan kitab-kitab penjelas (syarah). Selain hal-hal tersebut, Bulugh almaram mampu memikat para pecinta ilmu agama untuk menjadikannya buku ajar di pelbagai lembaga pendidikan, dari pelbagai ideologi keagamaan mereka masing-masing, akan tetapi Bulugh almaram mampu diterima baik di tengah-tengah perbezaan ideologi tersebut. Hal ini semakin menguatkan kewujudan Bulugh al-maram sebagai sebuah karya besar yang terlahir dari ulama besar Ibn Hajar al-‘Asqalaniy.26 Kitab Misbah al-zulam secara naskah ditulis pada saat Syekh Muhajirin berada di Mekah. Kemudian penyempurnaan penulisan selesai dilakukan pada tahun 1972 dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1985 oleh Perguruan Annida Al-Islamiy.27 Kitab Misbah al-zulam terdiri dari lapan jilid. Jilid I terdiri dari 279 halaman, jilid II 293 halaman, jilid III 270 halaman, jlid IV 258, jilid V 204 halaman, jilid VI 276 halaman, jilid VII 236 halaman, jilid VIII 284 halaman. Urutan kitab, bab, dan nomor hadis adalah sebagaimana yang terdapat dalam kitab Bulugh al-maram terdiri dari 16 judul kitab, 76 judul bab dan 1597 hadis. Sosok Syeikh Muhajirin sepanjang pengembaraannya dalam mengharungi lautan ilmuilmu keislamaan mulai dari Indonesia sampai Mekah dan Madinah, membentuk karakter keilmuan yang beliau miliki. Jika dilihat daripada kitab-kitab yang beliau hasilkan dan pernyataan beberapa ulama yang semasa dengan beliau dapat digambarkan bahwa Syeikh Muhajirin amat menguasai di bidang hadis dan hukum (fikah).28 Dalam konteks Misbah alzulam sebagai kitab syarah hadis, corak dan nuansa fikah amat mendominasi. Hal ini terbukti dengan fokus perbahasan dalam pensyarahannya merujuk kepada berbagai pendapat ulama mazhab fikah. Syeikh Muhajirin sendiri dalam mukadimah kitabnya menceritakan tentang sumber referensi utama dalam penggarapan Misbah al-zulam adalah semua kitab syarah Kutub al-Sittah dan kitab-kitab fikih terkenal beserta kitab usul fikihnya.29 Selain itu juga menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan kitab-kitab tafsir dalam menguatkan lagi perbahasan dalam kitabnya. Langkah-langkah metodologi yang dilakukan oleh Syeikh Muhajirin dalam menyusun kitab Misbah al-zulam adalah sebagai berikut: pertama tanqil, secara bahasa artinya memindahkan, iaitu mengambil kutipan daripada pelbagai pendapat ulama dan literatur yang berbeza-beza sesuai dengan tema perbahasan secara keseluruhan kedalam suatu naskah. Kedua tabyid, secara bahasa artinya pemutihan, iaitu menjadikan naskah yang sudah tersusun untuk kemudian dipilah dan dipilih (pemutihan) pendapat dan pandangan ulama yang memang benar-benar sesuai dan relevan dengan tema perbahasan. Langkah yang terakhir adalah tahqiq, secara bahasa artinya menguatkan, iaitu suatu upaya terakhir yang ditempuh oleh Syekh Muhajirin dalam menyusun karyanya dengan memeriksa ulang secara keseluruhan naskah yang sudah dipilah-pilah tersebut sambil ditambahkan dan dilengkapi kembali jika memang dirasa perlu demi kesempurnaan sebuah karya tulis. Kemudian ketika mulai menjelaskan sebuah hadis, Syekh Muhajirin sepertinya tidak mempunyai sistematika perbahasan yang baku. Terkadang ia memulai perbahasan hadis dengan membahas terlebih dahulu aspek asbab al-wurud hadisnya, di tempat yang lain ia memulai dengan membahas aspek-aspek lainnya seperti kebahasaan, usul fikih, atau sanad. Kendati demikian secara umum syarah yang dilakukan Syekh Muhajirin sudah mencakup sanad dan matn, walaupun dalam hal sanad perbahasannya sangat sederhana. Menurut Syeikh Muhajirin kerana perbahasan sanad bukan menjadi fokus utama perbahasan dalam kitab Misbah alzulam. Sebaliknya Syekh Muhajirin lebih banyak menumpukan perbahasannnya pada hukum Islam.
Lebih jauh lagi, perbahasan Syekh Muhajirin dalam kitab Misbah al-zulam dapat dirumuskan sebagai berikut:
Mengemukakan hukum hadis secara umum.
Syeikh Muhajirin kebiasaannya memberikan penjelasan mengenai hukum hadis secara ringkas. Beliau juga menjelaskan status hadis-hadis yang dijadikan oleh para ulama dan para imam mazhab. Dan terhadap hadis yang bermasalah, beliau juga menjelaskan ‘illat bagi hadis-hadis tersebut. Contohnya ketika menyebutkan hadis bacaan tambahan ketika iftihah al-salat.
عن عمر أنھ كان یقول سبحان اللھم وبحمدك تبارك اسمك
وتعالى جدك لا الھ غیرك. رواه مسلم بسند منقطع ورواه
الدارقطني موصولا وموقوفا.
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dengan
sanad yang terputus dan juga diriwayatkan oleh al-Daruqutniy secara mawsul dan mawquf. Mengenai perbezaan dalam ketersambungan sanad pada hadis ini, beliau lebih mengedepankan riwayat Muslim dan lebih kuat daripada riwayat al-Daruqutniy, beliau membawakan kaedah dalam ilmu hadis al-jarh muqaddam ‘ala al-ta‘dil.
واختلف العلماء فى إتصال ھذا الحدیث, وفى مسلم أنھ منقطع
وعند الدرقطني أنھ موصول مرفوع, فتقول أن روایة مسلم أقوى
من الدارقطني فوجب المصیر إلى ما فى مسلم وھو الانقطاع ولا
سیما أن الجرح مقدم على التعدیل. ٣٢
Menjelaskan tentang asbab al-wurud. Terhadap
hadis-hadis yang mempunyai asbab al-wurud, beliau akan menyertakannya. Contohnya:
عن أبي ھریرة قال فقال النبي صلى لله علیھ وسلم ھو الطھور
ماؤه الحل میتتھ
Pada hadis riwayat Abu Hurairah tersebut Syekh Muhajirin menjelaskan bahwa hadis ini merupakan jawaban dari pertanyaan seorang sahabat kepada nabi Muhammad s.a.w., tentang kebolehan mengunakan air laut untuk berwudu, dengan tegas ketika itu Nabi s.a.w. langsung menjawab sebagaimana bunyi matn hadis riwayat Abu Hurairah tersebut.
Mengemukakan penjelasan kata atau
kebahasaan. Dalam menjelaskan sesebuah hadis, tak jarang beliau mengulas dari aspek kebahasaan yang dapat memberikan pemahaman yang lebih komprehensif terhadap maksud hadis tersebut. Contohnya:
قولھ إذا قمت إلى الصلاة فأصبغ الوضوء.
فى قمت تضمین وھو اشراب كلمة إلى كلمة أخرى.
فتقدیر الكلام إذا أردت القیام إلى الصلاة فأصبغ الوضوء
فالماضى إذا دخل علیھ إذا فمعناه الإستقبال.
Beliau menjelaskan bahawa kata ‘qumta’ mengandungi taqdir iaitu إذا أردت القیام dan apabila fi‘il madi didahului إذا maka perkataan itu menunjukkan untuk masa mendatang (istiqbal).
Mengemukakan perbahasan mengenai usul fikih.
فخلاصة القول أن من عسر وصعب علیھ بعد التعلم وجب علیھ
أن یقرأ عدد آیات وحروف كالفاتحة وإلا فیجب العدول إلى ھذه
الخ. فیكون داخلا تحت قائدة عامة 􀍿 الأذكار سبحان لله والحمد
المیسور لا یسقط بالمعسور. ٣٤
Syeikh Muhajirin menyimpulkan bahawa orang yang tidak dapat membaca al-Fatihah walaupun sudah belajar maka wajib mengganti bacaan al-Fatihah dengan sejumlah ayat yang sama seperti surat al-Fatihah ataupun dengan zikir subhan Allah wa al-hamdu li Allah hingga akhirnya. Dan kelonggaran ini termasuk ke dalam kaedah umum dalam usul fikih iaitu almaysur la yasqut bi al-ma‘sur.
Mengemukakan perbahasan sanad. Syeikh
Muhajirin menjelaskan perbahasan tentang sanad sekiranya itu memang diperlukan. Seperti ketika menjelaskan sesuatu yang mubham ketika menyebutkan satu hadis.
ش: قولھ عن رجل صحب النبى صلى لله علیھ و سلم الخ.
فالرجل الذي أبھم علیھ انھ الحكم بن عمرو, وقیل انھ عبد لله بن
سرجس, وقیل انھ عبدلله بن مغفل. فالمبھم ان كان في الاسناد
فمن قبیل المضعف وان كان في المتن فلا یقدح فیھ لأن الصحابة
خیارعدول لا یحتاج الى تجریح و تعدیل. ٣٥
Dalam penggalan kalimat hadis tersebut Syekh Muhajirin menjelaskan tentang pribadi seorang periwayat dari generasi sahabat yang diinisialkan dengan kata rajul (seorang laki-laki). Berdasarkan beberapa pendapat diketahui bahwa nama seorang lelaki itu adalah Hakam bin ‘Amr, ‘Abdullâh bin Sirjis dan ‘Abdullah bin Mugaffal. Kata mubham seandainya terdapat dalam sanad maka hadis tersebut dikategorikan da‘if. Akan tetapi jika terdapat dalam matn maka tidak berpengaruh pada kualiti hadis tersebut. Selain itu kata rajul ini terdapat dalam tingkatan sahabat yang dalam disiplin ilmu hadis disepakati bahawa semua sahabat itu ‘adil dalam artian tidak diragukan dan tidak perlu diselidiki kredibilinya.
Mengemukakan beberapa pendapat ulama yang saling bercanggah sebagai perbandingan, dan terkadang mengemukakan pendapatnya sendiri. Ketika menjelaskan sesebuah hadis, beliau menukilkan pendapat para ulama dalam memahami hadis tersebut. Apabila terdapat perbezaan pemahaman, maka beliau akan menyebutkannya dan kemudian terkadang beliau mengemukanan pendapat pribadinya. Contohnya dalam perbahasan hadis mengenai cara membersihkan najis yang berasal daripada air kencing.
أَخْبَرَنَا مُجَاھِد بْنُ مُوسَى قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَھْدِيٍّ قَالَ
حَدَّثَنَا یَحْیَى بْنُ الْوَلِیدِ قَالَ حَدَّثَنِي مُحِلُّ بْنُ خَلِیفَة قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو
السَّمْح قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى للهَّ عَلَیْھ وَسَلَّمَ یُغْسَلُ مِنْ بَوْلِ الْجَارِیَة وَیُرَشُّ مِنْ بَوْلِ الْغُلَامِ
Dalam memahami hadis ini terjadi perbedaan pendapat antara mazhab Shafi‘iy dan Maliki Berdasarkan tentang tata cara membersihkan najis air seni anak bayi. Menurut pendapat mazhab Shafi‘iy air kencing bayi laki-laki cukup dibersihkan dengan cara merenjiskan air dengan tangan ke atas najis tersebut. Sedangkan bayi perempuan tidak cukup dengan cara demikian akan tetapi harus dicuci. Sedangkan menurut mazhab Maliki sama ada air kencing bayi laki-laki maupun perempuan cukup dibersihkan dengan cara direnjiskan air. Pendapat ini berdasarkan kemutlakan kata bayi yang terdapat dalam hadis, tanpa membezakan laki-laki atau perempuan. Kemudian Syekh Muhajirin menuliskan:
قلت قد اكتشف الاطباء حدیثا أن البول الصبیة ثفیلة ثخینة, وبول
الصبي خفیف فیكفي النضح علي الثاني ولا یكفي الا بالغسل علي
الأول.
Menanggapi perdebatan ini, Syeikh Muhajirin dengan merujuk kepada hasil penyelidikan para doktor masa kini yang menyatakan bahwasanya air kencing anak perempuan lebih kental sedangkan air seni laki-laki lebih ringan, karena itu cara membersihkannya cukup dengan dipercikan air. Akan tetapi air kencing perempuan tidak cukup dengan direnjiskan, melainkan dibersihkan juga dengan cara dicuci. Selain itu ulama fikih menjadikan ‘illat pada masalah tersebut dengan merujuk pada tanda baligh anak laki-laki keluar mani sendangkan perempuan haid. Dalam hal ini sebagaimana disepakati oleh para ulama bahwa air haid itu najis sedangkan air mani sebaliknya.

KESIMPULAN
Syeikh Muhammad Muhajirin adalah figur ulama berkaliber yang menguasai pebagai disiplin keilmuan Islam. Sesuatu yang amat langka di zaman yang kebanyakannya manusia sudah menjadikan dunia sebagai tujuan utama dan tidak lagi mengambil berat masalah agama. Keluasan ilmu beliau tidak hanya tersampaikan dalam bentuk lisan sahaja, bahkan juga dalam bentuk tulisan yakni dalam kitab-kitab yang beliau karang. Tercatat karya beliau berjumlah 34 buah dalam lapan bidang keilmuan Islam termasuk juga dalam bidang hadis. Sebagai seorang ulama yang juga pengkaji hadis, Syeikh Muhammad Muhajirin telah banyak meluangkan waktunya untuk menelaah dan mengembangkan kajian terutama dalam bidang hadis. Jerih payahnya tersebut telah Berjaya melahirkan sebuah karya besar iaitu kitab yang berjudul Misbah al-zulam sharh bulugh al-maram yang merupakan sharh keatas kitab hadis Bulugh almaram karya Ibn Hajar. Kitab Misbah al-zulam merupakan sebuah refleksi pemikiran dan keilmuan Syeikh Muhajirin yang terlahir dari proses penggalian ilmu selama bertahun-tahun di Indonesia dan di Hijaz. Syeikh Muhajirin dalam kitab Misbah al-zulam telah berjaya menjelaskan dengan baik kitab Bulugh almaram sebagai sebuah kitab hadis ahkam. Pemahaman beliau yang mendalam tentang hukum Islam mampu mencorakkan kitab Misbah al-zulam dengan nuansa fikah. Selain itu beliau juga memperkaya karyanya itu dengan memasukkan ikhtilaf al-‘ulama’ yang menggambarkan kebijaksanaan dan kematangan ilmu beliau. Sebagai ulama hadis, pemahaman beliau yang amat baik terhadap hadis menjadikan karyanya itu Berjaya menjelaskan kitab Bulugh al-maram dengan baik sehingga menjadi lebih mudah difahami. Selain itu, beliau juga memperkaya karya hadisnya itu dengan perbahasan ilmu hadis yang menggambarkan keilmuan beliau yang mendalam dalam bidang hadis.

1 komentar: